BAGAIMANA UNTUK MENCARI PENAWAR PENYAKIT
Oleh NORHASIYATI TAHARIN
APAKAH yang kita harus lakukan apabila kita didiagnos mempunyai penyakit, terutama sekali penyakit kronik?
Sebagai umat Islam, pertamanya, kita seharusnya redha di atas ketentuan Allah Taala terhadap kita.
Sememangnya mudah untuk diungkapkan, tetapi sukar and payah serta perit untuk dilaksanakan, apatah lagi jika penyakit kita telah banyak menekan jiwa kita.
Namun, keredhaan terhadap ketentuan Ilahi, bakal memberi satu nikmat sifat keserahbulatan terhadap tuhan kita, Allah yang Satu.
Sifat redha bakal memberi suatu kelapangan dan bersangka-baik terhadap Allah yang Maha Berkuasa.
Redha membuatkan kita merasa betapa kerdilnya kita di bumi Allah ini dan betapa perlunya kita akan pertolonganNya dalam setiap saat.
Selepas redha akan ketentuan Allah yang menyebabkan kita berpenyakit, kita perlu berikhtiar untuk mendiagnos penyakit tersebut secara moden.
Berjumpalah dengan seramai doktor yang boleh dan jangan sekali-kali segan bertanya dengan doktor.
Ada doktor yang hanya jawab sepatah perkataan apabila ditanya dengan sepatah perkataan. Namun, sentiasa menggesa doktor untuk menerangkan penyakit kita dengan lebih mendalam, walaupun terpaksa menggunakan bahasa-bahasa perubatan yang teknikal.
Sebagai pesakit, kita berhak untuk mengenai segala perkara berkaitan dengan penyakit yang dihidapi dan doktor tidak boleh menyorok sebarang maklumat dari pesakit.
Mungkin kita seorang pekerja kilang dengan pendidikan sekolah rendah dan tidak memahami apa-apapun istilah perubatan.
Namun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kenapa pesakit tidak boleh mengenali dengan mendalam penyakit yang dihidapi.
Pengalaman penulis yang telah beratus kali berjumpa dengan doktor, kebanyakannya, lebih tertumpu untuk tidak sabar untuk memberi ubat daripada meneliti punca penyakit.
Mungkin disebabkan berderetan pesakit sedang menunggu di klinik ataupun, doktor tersebut menganggap pesakit tidak memahami istilah perubatan.
Namun, apapun, pesakit berhak bertanya dan berhak untuk mendapatkan jawapan, dan penerangan yang mendalam tentang penyakitnya.
Jika perubatan moden tidak berhasil ataupun tidak menunjukkan peningkatan dan kesembuhan, maka jangan sekali-kali beralah kerana ilmu perubatan mempunyai banyak cabang.
Kini, perubatan alternatif sudah banyak berkembang biak di serata dunia, dan kebanyakannya lebih diyakini oleh ramai pesakit.
Sebagai umat Islam, yang mengakui akan keesaan Allah Taala yang Maha Penyembuh, sewajarnya kita berbalik kepada Al-Quran yang mempunyai pelbagai jenis penawar dan doa untuk kita amalkan.
Terdapat amalan-amalan nabi terdahulu yang pernah berada dalam kesulitan, penderitaan dan penyakit, dimana mereka berdoa kepada Allah untuk kesembuhan.
Berkat kesabaran dan keredhaan mereka, Allah telahpun menyembuhkan penyakit-penyakit mereka.
Kita juga boleh mengkaji sendiri punca penyakit kita melalui internet.
Jangan terkejut, jika setelah berbulan-bulan melayari internet mencari punca dan ubat kepada penyakit kita, kita menjadi pakar pula!
Inilah yang terjadi kepada saya yang pernah menghidapi heat-induced urticaria tahap kronik suatu ketika dahulu.
Pembacaan dalam internet banyak membantu, sehinggakan kini, saya memiliki tiga buah buku nota berkenaan dengan penyakit tersebut.
Akhirnya, saya pulih, hanya dengan mengamalkan doa-doa dan amalan-amalan para nabi!
Justeru para pembaca sekalian, apabila ditimpa penyakit....jangan sekali-kali menyerah kalah dan berputus asa. Setiap penyakit ada penawarnya. Buat kajian dan teruskan membuat kajian.
Bertanya dengan doktor memerlukan duit yang banyak, tapi mencari maklumat di internet kurang sedikit belanjanya dan maklumat yang didapati pula menyeluruh.
Namun, jangan lupa untuk membaca salawat nabi sebelum berinternet agar Allah menemukan kita dengan blog-blog ataupun web-web yang bersesuaian.