MEMORI INDAH PENUH PENGALAMAN KOMANDER KESATRIA ITM SRI MANJONG (KINI DIKENALI UiTM SRI ISKANDAR), PERAK.
Nukilan oleh NORHASIYATI TAHARIN
Journa-blogger, bekas komander dan siswi DBS.
JANGAN terkejut apabila melihat foto-foto di bawah ini.
Pertamanya, sesiapa pun di dalam foto di bawah kini sudah berusia 40 tahun ke atas.
Sudah pasti pinggang sudah sedikit lebar dan uban-uban sudah mula membuat kunjungan hormat.
Foto-foto di bawah di ambil dari tahun 1985 sehingga 1988, zaman dimana komputer masih lagi bersaiz 'giant' dan hanya yang terpilih sahaja dapat menekan punat komputer.
Foto di bawah adalah sebahagian daripada foto-foto yang diambil ketika aktiviti Kesatria ITM Sri Manjong, Perak.
ITM kini sudah dinaiktaraf dan dikenali sebagai UiTM dan kampus 'kedai kopi' di Seri Manjong sudah lama berpindah ke kampus kekal untuk siswa/ siswi di Sri Iskandar.
Penulis terpanggil untuk menyiarkan foto-foto ini kerana menghargai segala daya-usaha pihak UiTM untuk menaikkan martabat dan mendisiplinkan setiap pelajarnya semenjak penubuhannya lagi.
Penulis adalah sebahagian daripada 'second batch' Diploma in Business Studies, intake July 1985.
Memandangkan kesatria adalah wajib, maka penulispun berkawadlah. Lama-lama jadi syok dan memohon pula untuk mengikuti kursus komander...eh..eh...dapat pula.
Dan bermulakan penghidupan penulis di kampus kedai kopi sebagai komander yang ditugaskan untuk menjadualkan latihan untuk prebet.
Memang menyeronokkan kerana kampus kedai kopi ini terletak berhampiran dengan kawasan laut di Teluk Rubiah. Ia berhampiran dengan kawasan Outward Bound School (OBS) tempat latihan ala-ala tentera tu.
Sepanjang menjadi komander hampir empat semester di ITM Manjong, rasanya seluruh pelusuk hutan di kawasan itu sudah digeladah dan pantai Teluk Rubiah sememangnya cantik dan suci bersih...lagi cantik dari Teluk Batik!
Tahun 1980an, kawasan Manjong adalah tersisih dari kemodenan dan situasi begitu amat sesuai untuk latihan tentera.
Penulis teramat suka akan keaktifan aktiviti Kesatria ITM Manjong ketika itu, sehinggakan tidak langsung berminat untuk menyambung "final year' di kampus induk di Shah Alam.
Tak apalah, kalau terpaksa 'graduate' dari kampus 'kedai kopi' kerana pengalaman sebagai komander di Sri Manjong amat bernilai sekali.
Tak 'kick' lah untuk berlatih bertempur dengan musuh di atas rumput ataupun di atas tar jalan raya, bisik hati penulis pada tahun 1987.
Kawasan pantai Manjong sememangnya sesuai untuk aktiviti-aktiviti latihan ketenteraan terutama kalau melibatkan air.
Kini, di situ, sudah ada Kem Khidmat Negara Teluk Rubiah yang dikatakan kem yang terbaik di seluruh negeri Perak, mungkin sebab lokasi yang strategik untuk melatih pelajar-pelajar kita.
Penulis cuma tumpang gembira. Kebetulan pula, ada anak saudara lelaki (sebelah suami) sedang menjalani latihan Khidmat Negara disitu.
Pengalaman selama enam semester di Manjong termasuk empat semester sebagai komander, benar-benar membantu penulis untuk berdedikasi dan cekal selama berbelas tahun sebagai seorang wartawan politik dan ekonomi di Kuala Lumpur dan kemudian membina sebuah perniagaan kecil di Taman Negara Pahang.
Tak perlu keluar dari Oxford untuk berjaya, kampus 'kedai kopi' sudah memadai untuk membina kualiti diri.
Saya yang kerap menjadi juruacara untuk aktiviti rasmi Kesatria kampus. Di belakang tu, Jasmin Sulaiman...jaga speaker pun kena cekak pinggang ke? En Jasmin dah berkahwin dengan komander Rosnah dan ada tiga anak macam saya juga. Komander Rosnah kini seorang guru di Pulau Pinang. Saya terserempak dengan 'couple' setia ini pada Mac 2013 di Ipoh selepas terpisah lebih 20 tahun.
Komander-komander wanita bersama dengan komander Encik Mat Nayan yang banyak mencurahkan ilmu taktikal tentera kepada para komander. Penulis kiri sekali ...yang kurus tu....kini sudah kembang kiri kanan.
Foto diambil pada Jan 1988 di hadapan pejabat ITM Sri Manjong, Perak. Kelihatan sederetan komander-komander. Maaf kerana foto tidak jelas. Maklum tahun itu masih lagi kamera filem dan foto dah tersimpan lebih dari 25 tahun.
Tidak pasti tahun dimbil foto ini, tetapi di antara 1996 sehingga 1988. Foto diambil selepas tamat latihan komander yang baru. Saya masa itu jadi sebahagian dari jurulatih...jadi saya dapatlah duduk di atas bangku di bahagian hadapan. (tiga dari kanan) Dibelakang adalah dua barisan komander-komander baru yang baru habis latihan..lihatlah kulit yang hitam berkilat dek panas Teluk Rubiah.
Ini adalah foto 'favourite' saya kerana ia adalah foto paling santai yang pernah diambil sepanjang tempoh kesatriaan saya. Tak ingat tahun bila, yang pasti tiga tiang tu sudah tidak ada lagi dan jalanraya di belakang tu kini sudah semakin sibuk dengan ratusan kenderaan lalulalang seharian. Hutan di seberang jalan kini dipenuhi dengan pelbagai jenis rumah dan kedai.
Saya terlupa nak 'caption' gambar ini pada tahun 1980an dahulu, jadi hanya foto ini sahajalah yang saya ingat. Kalau ada sesiapa yang ingat, hubungilah saya agar saya boleh 'update' maklumat foto ini.
Ketika belajar cara memadam api di Kem TLDM Ipoh Perak.
Saya bersama-sama komander lain dalam perjalanan pulang dari hutan di Teluk Rubiah ke kampus di Sri Manjong, Perak. Berjalan kaki berbatu-batu tidak terasa perit kerana keseronokan menjalani latihan ala-ala tentera.
Aktiviti santai di Teluk Rubiah bersama komander-komander lain. Pelbagai pelusuk pantai di Malaysia ini dah diteroka oleh penulis sebagai wartawan dulu, tapi tiada yang seindah Teluk Rubiah... mungkin pengalaman dan pengajaran yang ditimba menjadikan Teluk Rubiah istimewa.
Aktiviti memasak di dalam hutan ketika camping di hutan di Taiping, Perak.
Foto diambil sekitar tahun 1987, jadi sudah agak antik!
Lambaian para komander ketika bersantai di laut Teluk Rubiah. Pulau apa pulak kat belakang tu....tak perasan pun 25 tahun dahulu. Macam Pulau Mayat Terbaring di perairan laut Labuan pun ada jugak.
Ketika kepenatan meronda dalam hutan tebal Teluk Rubiah, tersandar di pokok seketika. Namun, masih mampu senyum untuk kamera kerana keterujaan menjadi askar walaupun tak pernah ke medan perang. Inilah untungnya menjadi ahli komander di kampus 'kedai kopi' kerana setiap aktiviti kesatria adalah di hutan yang sebenar-benarnya hutan belantara. Jadi menjadi komandar di kampus ini, tidak boleh mengada-ngada atau 'tergedik-gedik', kena pandai membina hammock sendiri tanpa bantuan, kena bawak sendiri punya beg dan ration, walapun perempuan. Basically, we need to be independent. Malam sungguh menggerikan kerana kedudukan tapak khemah entah dimana dan bunyi-bunyian malam amat menakutkan. Tetapi, semua nampak professional walaupun dibesarkan di kawasan bandar. Saya tiada masalah kerana sekeliling rumah makbapak saya di Lahat Perak dipenuhi dengan pokok-pokok besar dan sememangnya menyeramkan!
Inilah saya Komandar NORHASIYATI TAHARIN. Inilah satu-satunya gambar saya berpakaian lengkap komander kesatria yang paling besar dalam koleksi saya. Saya sedang santai, di meja studi saya ketika menginap di Asrama P7 dulu. Asrama terdiri dari sederetan kedai setingkat dan terletak di tingkat atas dan dibawah adalah bilik kuliah. Kini, sederetan kampus ini telah menjadi sederetan kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Itulah sebabnya kampus ini lebih dikenali sebagai kampus kedai kopi.
Foto ini amat menjelaskan suasana kuliah ketika di kampus kedai kopi. Ketika ini, komandan Kesatria Encik Mat Nayan begitu rancak bercerita mengenai kesatria....(maaf tak ingat topik, kuliah 25 tahun dahulu, siapa yang ingat!) kepada sekumpulan bakal-bakal komander baru.
Bakal-bakal komander termasuklah saya di arahkan untuk menyeberangi sungai ini. Nampak mudah kerana airnya cetek tapi lumpurnya amat dalam sampai ke pinggang. Nasib baiklah kesemua bakal komander kreatif dan saling tolong-menolong hingga kesemua bakal komander dapat menyeberangi sungai dengan selamatnya. Tapi baju habis busuk dek bau lumpur yang melekat pekat di badan. Senior-senior komander beruntung....mereka menyeberang sungai menggunakan jambatan kayu tu (dalam gambar) dalam keadaan santai sahaja. Mereka jurulatih dan kami pula juruletih!
Kalau betullah ingatan saya, foto ini diambil semasa latihan tentera di hutan di Taiping...ceruk mana tak tahulah., tapi betul-betul di dalam hutan pekat. Terpaksa menggunakan parang untuk memacak khemah dan pacat ....teramat banyak sehinggakan warna seluar hijau bertukar merah! Tapi semua gembira...lihatlah sendiri semua tersengih gembira.
Kiri kanan kiri....kiri..kanan...kiri. Ketika ini, para komander sedang berkawat berkilo-kilometer pulang ke kampus dari kawasan latihan di Teluk Rubiah, Sri Manjong. Rasanya, dah tiga hari tidak mandi dan bergosok gigi. Bau-bauan memang amat busuk sehinggakan sekumpulan lembu yang lalu pun lari lintang-pukang kerana tidak tahan bau busuk kumpulan kita orang. Tahun ini mungkin 1987.
Kalau tidak silap, foto ini diambil ketika dalam perjalanan ke kawasan air terjun di Taiping, setelah beberapa malam berkhemah di tengah-tengah hutan yang tiada alamat.
Ketika lawatan satu hari ke Kem TUDM, Ipoh oleh komander kesatria ITM Manjong bersama-sama dengan sekumpulan komander dari kampus Johor.
Mengenali pelbagai jenis senjata di Kem TUDM, Ipoh.
Kenapa dengan bendera merah ni? Dah 25 tahun berlalu, tidak ingat lagi, tapi lokasi adalah di hutan Taiping. Seronok mempelajari cara untuk membaca peta topograpi bersama dengan kompas, tapi tersesat juga selama tiga jam. Tapi selamat juga akhirnya kerana kepatuhan setiap komander dan sikap tenang yang tidak mengelabah apabila mendapati sudah sesat serta sentiasa fokus pada arahan. Tapi sememangnya kebuluran sama tu!
Untuk perhatian, sesiapa di dalam foto diatas, sudi-sudilah hubungi saya di email yatiehasnah@gmail.com