KAMPUNG PENGKALAN GATE TAMBAHAN 2, 31500 LAHAT PERAK DARUL RIDHUAN.
Suatu majlis yang ringkas tapi penuh bermakna bagi kanak-kanak Kampung Pengkalan Gate, Lahat pada Mac 23, 2013.
Kanak-kanak yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Nurul Hidayah akan dapat belajar dengan dengan lebih selesa di sekolah baru yang bakal disiapkan dalam masa tiga bulan.
Secara rasminya, ADUN Sg Rapat Dato' Hamidah Osman telah memulakan pembinaan projek berkenaan apabila beliau menaiki jentera berat pengkaut dan memulakan kaupan tanah yang pertama di tapak projek.
Bangunan baru yang berukuran 84 kaki kali 25 kaki akan mempunyai tiga buah kelas, dan akan dibina berkonsepkan ubah suai.
Bangunan tersebut bakal mempunyai dua dinding dalaman yang boleh dibuka dan ditutup. Jika kedua-dua dinding tersebut dibuka, bangunan tersebut boleh diubah menjadi sebuah dewan yang besar.
Dewan ini juga boleh digunakan untuk pelbagai upacara rasmi sekolah, mahupun kegunaan jemaah surau bersebelahan seperti solat jemaah.
Sekolah tersebut bakal dibina pada kos RM132,000.00, dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada 1 Julai 2013.
Perjanjian pembinaan kontrak telah di meterai di antara SRAR Nurul Hidayah dan kontraktor Syarikat Suci Enterprise baru-baru ini.
Pembayaran kontrak akan dilakukan dalam empat fasa bergantung kepada tahap pembinaan yang telah dilakukan dalam masa yang telah ditetapkan.
Pembayaran kepada kontraktor terbahagi kepada empat bahagian; sebanyak 30 peratus untuk setiap fasa, dari fasa pertama hingga fasa ketiga, dan pembayaran akhir sebanyak 10 peratus untuk fasa ke empat.
Denda sebanyak RM100 sehari bakal dikenakan jika kontraktor lewat menyiapkan kerja pembinaan sekolah berkenaan.
Buat masa ini, SRAR Nurul Hidayah terpaksa menggunakan bahagian bawah Surau Nurul Hidayah sebagai kelas daripada tahun 2001 sehingga kini (2013).
Sebelum itu, sekolah beroperasi di Dewan Orang Ramai Kampung Pengkalan Gate dan mempunyai satu kelas sahaja. Ketika itu, gurubesar sekolah adalah Ustazah Faridah binti Mokhtar.
Kini, Ustazah Norma binti Zainal adalah gurubesar sekolah.
SRAR Nurul Hidayah kini mempunyai tiga kelas: satu kelas sesi pagi dan dua kelas sesi petang, dengan jumlah murid seramai 87 orang dari tahun satu sehingga tahun enam.
Pada tahun lepas iaitu 2012, SRAR telah merekod pencapaian akademik yang amat membanggakan apabila tiga pelajarnya mendapat keputusan penuh sebanyak 8A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Kelas Kafa (UPKK).
Mereka adalah Nur Syakirah binti Shamsuri, Nor Iqlas binti Abd Hamid dan Nor Fatihah binti Mohd Azhari.
Sebelum ini, pencapaian tertinggi yang pernah direkodkan oleh SRAR Nurul Hidayah adalah 7A dan 1B.
Gurubesar SRAR Nurul Hidayah Ustazah Norma begitu berbangga dengan pencapaian para pelajarnya dan berharap kejayaan tersebut akan terus diwarisi oleh pelajar-pelajar lain.
"Di harap para ibubapa akan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah tersebut agar anak-anak akan mendapat pendidikan agama Islam di peringkat kanak-kanak lagi.
"Pendidikan Islam amat penting kepada anak-anak kerana ia menjadi asas penghidupan di dunia and di akhirat,'' ujar beliau lagi.
Pelajar-pelajar SRAR di ajar lapan matapelajaran dibawah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) iaitu Al-Quran, Sirah Nabi, Akidah, Ibadah, Jawi dan Khot, Akhlak Islamiyah, Bahasa Arab and Penghayatan Cara Hidup Islam.
Peperiksaan UPKK diadakan pada tahun 5 pengajian manakala peperiksaan Sijil Rendah Kelas Kafa (SRAI) diadakan pada tahun 6 pengajian.
Keputusan UPKK dan SRAI bakal digunakan bersama-sama dengan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), jika pelajar-pelajar berminat untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah agama berasrama penuh.
Ustazah Norma berkata, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang terbuka luas bagi para pelajar yang mempunyai akademik yang bagus.
SRAR Nurul Hidayah menganjurkan kelas KAFA ini adalah dibawah bimbingan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dibawah naungan Jabatan Agama Islam Perak.
YB Dato' Hamidah binti Osman (kiri) bersama Gurubesar SRAR Nurul Hidayah Ustazah Norma Binti Zainal (kanan) semasa upacara perasmian pecah tanah tapak sekolah yang baru. |
Dato' Hamidah binti Osman bersama-sama dengan gurubesar, guru-guru dan kanak-kanak Sekolah Agama Rakyat Nurul Hidayah. |
Dato' Hamidah binti Osman bersama-sama dengan para penduduk Kampung Pengkalan Gate and Kampung Pengkalan Gate Tambahan.
No comments:
Post a Comment